Tuesday, October 7, 2008

Azlina

Adik Azlina IbrahimInilah wajah adik, Azlina [hajjah muda] yang bersama-sama mengikuti saya menunaikan fardhu haji pada 2006. Beliaulah yang sentiasa bersama di Masjidil Haram mendengar saya membaca Quran.

Saya nyatakan kepada beliau:

"Na, Na kena tolong abang, Abang nak baca Quran. Abang nak khatam di sini. Kalau bukan Na, siapa lagi yang boleh tolong Abang"

Beliau tersenyum manis dan berkata:

"Abe ajak Na ke sini dan Na bersyukur sangat. Inilah doa Na untuk menunaikan fardhu haji ketika usia muda. Na akan dengar abang baca tetapi selepas Na buat beberapa solat sunat, boleh Abe?"

Azlina adalah seorang pelakun airmata. Ketika melihat Kaabah, bercucuran airmata. Merah padam mukanya. Ketika Roza berjaya bersolat di Hijir Ismail [nota: dengan cara yang luar biasa - beliau bersolat seorang diri, dikawal oleh askar yang bertugas], Azlina menangis tersedu-sedu dan mengadu kepada saya:

"Abe, Na nak sangat solat di Hijir Ismail. Na tak dapat cium Hajar Aswad tak apa tapi Na nak bersolat dan berdoa di Hijir Ismail."

Saya memeluk dan memujuk beliau: InsyaAllah, Allah akan bagi jika kita benar-benar memohon kepadanya.

Lalu saya sentiasa berdoa kepadaNya: Ya Allah, Kau perkenankanlah permohonan hambamu ini. Izinkanlah adikku - Azlina - memasuki Hijir Ismail, bukan untuk ku ya Allah, hanya untuk Azlina ya Allah. Kau perkenankanlah.

Kawasan pintu masuk Hijir Ismail sentiasa sesak. Tambah-tambah lagi ia baru dibuka selepas wukuf di Arafah. Ketika Allah menggerakkan hati untuk kami menuju ke Hijir Ismail, saya berpesan kepada Roza, Kak Mie dan Azlina: Hari ini, tujuan utama adalah untuk membantu Na.

Saya memimpin Azlina. Roza dan Kak Mie di belakang. Ketika hampir sampai di pintu Hijir Ismail kelihatan kaum lelaki bersesak-sesak keluar dan masuk. Saya memohon kepada Allah, permudahkanlah, permudahkanlah!

MasyaAllah... tiba-tiba terbuka laluan. Na... cepat Na masuk. Cepat. Pergi ke kawasan tengah. Saya tarik Kak Mie. Masuk Kak Mie. Dan Roza juga mengikut mereka secara semulajadi. Saya sendiri tidak bercadang untuk memasuki kawasan tersebut kerana sudah beberapa kali bersolat dan berdoa di sana. Hari ini adalah hari Azlina.

Tiba-tiba ada orang menolak ganas. Saya terdorong ke hadapan, ke dalam kawasan Hijir.

Tertolak lagi ke hadapan sehinggakan saya berada betul-betul di bawah cucur emas, benar-benar berhadapan dengan dinding Kaabah.

Saya menitiskan air mata. Saya bersolat sunat, berdoa ringkas dan memanggil Roza untuk menggantikan tempat saya. Saya mencari Azlina dan dengan 'bersusah-payah' membawanya ke hadapan untuk berdoa di bawah cucur emas tersebut.

Saya selalu bergurau dengan beliau: Na berdoa supaya dapat jodoh? Berdoalah supaya dapat suami yang sebaik Abe!

Kini kami jarang berjumpa. Beliau bertugas di Sabah, disayangi oleh anak-anak muridnya. Ketika bertemu di hari raya, saya bergurau: Na nampak makin kurus, dah ada boy-friend?

"Belum... Abe tolonglah cari untuk Na!"

Di dalam hati, saya berbisik: "Ia tidak semudah membawa Na memasuki Hijir Ismail"

1 comment:

hanila said...

Assalamualaikum w.b.t utk Prof sekeluarga,

Seronok membaca ulasan daripada seorang 'Abe' terhadap adik kesayangannya. Saya baru berkesempatan membaca coretan Prof pagi ini. Manis sekali gambar Adik Azlina. Dengan izin Allah s.w.t Azlina akan bertemu jodoh nanti setelah balik bertugas di Terengganu ..... insyaallah.