Wednesday, October 8, 2008

Hati

Syarifah adalah bekas supervisee saya di peringkat sarjana. Beliau telah lulus tesis sudah hampir dua tahun. Petang tadi beliau menghantar e-mail:

"Apa khabar Prof. sekarang? Tentunya masih penat lagi kerana lebih sibuk di musim menyambut perayaan.

Prof. pagi tadi saya pergi ke Pos ofis hantar kek lapis dari Indonesia buat Prof. sekeluarga. Sepatutnya saya hantar seminggu sebelum hari raya tetapi kek itu baru sampai hari Isnin 28/9/2008 lepas jadi dah tak sempat nak hantar lagi. Pejabat Pos pun tak terima lagi kiriman untuk hari raya.

Saya simpan di dalam peti ais. Di dalam bungkusan itu juga saya sertakan sedikit kek Hati Pari kerana saya ada baca semalam dlm diari, Prof. Kamil juga suka Hati Pari. Kebetulan masih ada di rumah.

Sampaikan salam dari kami sekeluarga pada Kak Roza. Mak ayah sayapun kirim salam. Mereka sudah pulang ke Indonesia."

Saya teruja bukanlah kerana bakal menerima kek Hati Pari tetapi lebih kepada mengenangi ingatan seorang pelajar kepada gurunya.

Ia soal hati. Dan saya bersyukur kerana kesemua pelajar-pelajar sarjana dan PhD yang sedang atau sudah diselia oleh saya mempunyai cara tersendiri dalam menjalin hubungan.

Tuesday, October 7, 2008

Azlina

Adik Azlina IbrahimInilah wajah adik, Azlina [hajjah muda] yang bersama-sama mengikuti saya menunaikan fardhu haji pada 2006. Beliaulah yang sentiasa bersama di Masjidil Haram mendengar saya membaca Quran.

Saya nyatakan kepada beliau:

"Na, Na kena tolong abang, Abang nak baca Quran. Abang nak khatam di sini. Kalau bukan Na, siapa lagi yang boleh tolong Abang"

Beliau tersenyum manis dan berkata:

"Abe ajak Na ke sini dan Na bersyukur sangat. Inilah doa Na untuk menunaikan fardhu haji ketika usia muda. Na akan dengar abang baca tetapi selepas Na buat beberapa solat sunat, boleh Abe?"

Azlina adalah seorang pelakun airmata. Ketika melihat Kaabah, bercucuran airmata. Merah padam mukanya. Ketika Roza berjaya bersolat di Hijir Ismail [nota: dengan cara yang luar biasa - beliau bersolat seorang diri, dikawal oleh askar yang bertugas], Azlina menangis tersedu-sedu dan mengadu kepada saya:

"Abe, Na nak sangat solat di Hijir Ismail. Na tak dapat cium Hajar Aswad tak apa tapi Na nak bersolat dan berdoa di Hijir Ismail."

Saya memeluk dan memujuk beliau: InsyaAllah, Allah akan bagi jika kita benar-benar memohon kepadanya.

Lalu saya sentiasa berdoa kepadaNya: Ya Allah, Kau perkenankanlah permohonan hambamu ini. Izinkanlah adikku - Azlina - memasuki Hijir Ismail, bukan untuk ku ya Allah, hanya untuk Azlina ya Allah. Kau perkenankanlah.

Kawasan pintu masuk Hijir Ismail sentiasa sesak. Tambah-tambah lagi ia baru dibuka selepas wukuf di Arafah. Ketika Allah menggerakkan hati untuk kami menuju ke Hijir Ismail, saya berpesan kepada Roza, Kak Mie dan Azlina: Hari ini, tujuan utama adalah untuk membantu Na.

Saya memimpin Azlina. Roza dan Kak Mie di belakang. Ketika hampir sampai di pintu Hijir Ismail kelihatan kaum lelaki bersesak-sesak keluar dan masuk. Saya memohon kepada Allah, permudahkanlah, permudahkanlah!

MasyaAllah... tiba-tiba terbuka laluan. Na... cepat Na masuk. Cepat. Pergi ke kawasan tengah. Saya tarik Kak Mie. Masuk Kak Mie. Dan Roza juga mengikut mereka secara semulajadi. Saya sendiri tidak bercadang untuk memasuki kawasan tersebut kerana sudah beberapa kali bersolat dan berdoa di sana. Hari ini adalah hari Azlina.

Tiba-tiba ada orang menolak ganas. Saya terdorong ke hadapan, ke dalam kawasan Hijir.

Tertolak lagi ke hadapan sehinggakan saya berada betul-betul di bawah cucur emas, benar-benar berhadapan dengan dinding Kaabah.

Saya menitiskan air mata. Saya bersolat sunat, berdoa ringkas dan memanggil Roza untuk menggantikan tempat saya. Saya mencari Azlina dan dengan 'bersusah-payah' membawanya ke hadapan untuk berdoa di bawah cucur emas tersebut.

Saya selalu bergurau dengan beliau: Na berdoa supaya dapat jodoh? Berdoalah supaya dapat suami yang sebaik Abe!

Kini kami jarang berjumpa. Beliau bertugas di Sabah, disayangi oleh anak-anak muridnya. Ketika bertemu di hari raya, saya bergurau: Na nampak makin kurus, dah ada boy-friend?

"Belum... Abe tolonglah cari untuk Na!"

Di dalam hati, saya berbisik: "Ia tidak semudah membawa Na memasuki Hijir Ismail"

Monday, October 6, 2008

Keluarga



Hari raya ketiga. Seluruh keluarga berkumpul di rumah Wan dan Ayah. Di sebelah pagi, sebahagian daripada kami berkunjung ke rumah Mak dan Bapa saudara. Selepas Asar diadakan sukaneka untuk cucu-cucu Tok Wan dan Tok Ki. Di sebelah malam, diadakan majlis doa selamat dan BBQ.

Ketiadaan ibu-bapa tidak merenggangkan kami. Malah kami lebih bersemangat untuk memastikan hubungan kekeluargaan ini akan kekal terjalin. Setiap kali raya kami akan melantik seorang pengerusi untuk menguruskan hari keluarga.

Alahai... adik-beradik - air dicincang tidak akan putus, carik-carik bulu ayam akhirnya bercantum kembali. Bagaimanapun cabaran persaudaraan di antara adik-beradik kelihatan lebih sukar. Jangan sekali-kali meninggi diri sesama saudara. Pangkat dan darjat perlu dilupuskan. Saudara tua perlu dihormati. Mengalahlah dalam apa jua keadaan.

Kami berdoa agar persaudaraan ini akan kekal begitu buat selamanya. Dan inilah Pengerusi baru untuk 2009.

Di sini

Salam sejahtera.

Saya terpaksa meminjam blogspot untuk menulis. Entah kenapa http://www.muhdkamil.net asyik error 99. Saya tidak faham.

Sementara atau kekal di sini terpulang kepada keadaan. Saya rimas bila tidak mencatat sebaris dua.

Semoga Allah memberkati hidup kita semua.